DASAR 1 MURID 1 SUKAN



DASAR 1MURID 1SUKAN

Dasar 1 M 1 S mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. 
Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. 



Dasar 1 M 1 S berhasrat untuk: 

  1. Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun.
  2. Memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.
 Dasar 1 M1 S berhasrat untuk memenuhi objektif-objektif berikut:

  1. Meningkatkan kecergasan jasmani.
  2. Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni.
  3.  Memupuk perpaduan di antara kaum.
  4. Membentuk budaya sukan di kalangan murid.
  5. Memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti fizikal.
  6.  Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal.
  7. Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI). Konsep Dasar 1 M 1S  diwujudkan untuk menyokong FPK agar dapat:

  1. Memberi akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan  khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif.
  2.  Membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-
     kurangnya satu jenis sukan di sekolah.
  3.  Memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.

 Pelaksanaan Dasar 1M 1S hendaklah mengambil kira prinsip-prinsip berikut:

  1. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan
     hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan , Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah.
  2. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan
    oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah;.
  3. Asas kepada 1M 1S adalah pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang berkualiti di sekolah. Segala sumber untuk mata pelajaran pendidikan jasmani hendaklah diguna sama bagi 1M 1S.
  4. Aspek yang diutamakan adalah penyertaan aktif oleh semua murid dalam aktiviti sukan.
  5. Penyertaan dalam sukan adalah asas kepada perkembangan Intelek Rohani, Jasmani, dan Emosi murid.
  6. Ibu bapa dan agensi luar rakan sukan adalah digalakkan untuk menyumbang kepada
    pembangunan sukan sekolah.
  7. Setiap sekolah yang sudah pun mempunyai prasarana, kemudahan dan peralatan sukan hendaklah mengoptimumkan penggunaannya bagi meningkatkan lagi penyertaan aktif setiap murid.

Bagi memenuhi prinsip-prinsip pelaksanaan 1M 1S, setiap sekolah mempunyai pendekatan dalam melaksanakan program sukan mengikut acuan dan kemampuan sedia ada. Dengan itu, pelaksanaan 1M 1 S adalah berdasarkan kepada pendekatan berikut:

  1. Aktiviti sukan bermaksud melibatkan diri dan mengambil bahagian secara aktif dalam latihan
     sukan dan permainan di bawah pengurusan sekolah. Sukan yang ditawarkan di bawah 1M 1S
    hendaklah berunsurkan aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal.
  2. Aktiviti sukan di sekolah diadakan sepanjang tahun berdasarkan kepada aktiviti rumah sukan dan kelab sukan. Kejohanan tahunan olahraga sekolah yang didahului oleh kejohanan merentas desa dan sukan tara menjadi aktiviti teras sukan di sekolah.
  3. Pihak sekolah hendaklah mengadakan pertandingan antara tingkatan, kelas, rumah, dorm asrama, kelab sukan sekolah. Penyertaan murid dalam kejohanan MSSD/MSSN/MSSM serta peringkat antarabangsa adalah merupakan aktiviti 1M1S.

Penilaian murid adalah berdasarkan kepada sistem penilaian sedia ada yang berasaskan:

  1. Kehadiran;
  2. Jawatan Serta Sumbangan;
  3. Penglibatan; dan
  4. Pencapaian

No comments:

Post a Comment

FALSAFAH UNIT KOKURIKULUM

Untuk melahirkan modal insan yang berdisiplin, berketrampilan, mempunyai daya saing,disamping memiliki ciri-ciri ketahanan mental, fizikal dan emosi yang tinggi agardapat memenuhi kehendak serta aspirasi negara pada masa hadapan

VISI

MELONJAKKAN KECEMERLANGAN DALAM PENCAPAIAN AKADEMIK, KOKURIKULUM DAN IMEJ PERKHIDMATAN

MATLAMAT KOKURIKULUM

Menyemai kesedaran murid terhadap agama, beradab, taat setia, bertanggungjawab, berdisiplin, jujur dan bersih,disamping mempunyai ciri-ciri emosi, intelek dan jasmani yang seimbang.

Menggilap, mengukuhkan minat, bakat dan kemahiranpelajar dalam setiap aktiviti kokurikulum yang diceburi.

Mengisi masa lapang dengan mewujudkan aktiviti-aktiviti yang menarik dan berfaedah.

Mengukuhkan interaksi, integrasi dan persefahaman

di kalangan pelajar, guru dan juga dengan masyarakat luar.

OBJEKTIF KOKURIKULUM

Membentuk sifat berdikari dan kepimpinan yang berkesan dari segi pengurusan serta tanggungjawab kepada diri , sekolah, masyarakat dan negara.

Meningkatkan disiplin pelajar melalui pemyemaian dan pemupukan nilai, budaya dan sikap positif selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dan Rukunegara.

Meningkatkan keseimbangan antara perkembangan mental dengan perkembangan sosial, jasmani, minat dan bakat pelajar kearah kecemerlangan kokurikulum berpandukan Falsafah Pendidikan Negara dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan .

Mengukuhkan interaksi dan integrasi di kalangan pelajar untuk meningkatkan suasana sekolah yang lebih menarik dan menggembirakan dalam usaha melahirkan budaya sekolah yang unggul dan seterusnya mencapai matlamat.

Meningkatkan penglibatan, kerjasama dan sumbangan dua hala antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru dan kakitangan, sekolah dengan ibubapa dan masyarakat

STRATEGI PELAKSANAAN

Memberi wajaran kepada aktiviti kokurikulum supaya kurikulum dan kokurikulum boleh saling melengkapi dalam proses pendidikan di sekolah.

Menetapkan dan mempelbagaikan aktiviti pasukan pakaian seragam, kelab/persatuan , sukan dan permainan dengan tujuan memberi peluang kepada semua murid melibatkan diri dengan aktif secara individu dan kumpulan.

Melibatkan murid, Persatuan Ibubapa dan Guru dan agensi luar yang terdiri dari semua kaum dalam semua aktiviti kokurikulum yang sesuai, untuk tujuan pemupukan perpaduan;

Merancang dan meneliti aktiviti kokurikulum bagi mencapai matlamat yang dikehendaki;


Menyelia, merekod dan menilai kemajuan aktiviti kokurikulum yang dijalankan sepanjang tahun

Menganjur dan mengelola pertandingan yang melibatkan semua murid di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan;

Memupuk nilai-nilai yang positif dan mengalakkan semangat berdaya saing yang sihat di kalangan pelajar,

Memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada guru dan murid, dari semasa ke semasa.

BIJAK BICARA

Jangan membenci mereka yang mengatakan hal buruk untuk menjatuhkanmu, kerana merekalah yang membuatmu semakin kuat setiap hari